08 Ogos, 2016

Pendaftaran Pembekal Dengan e-Perolehan

Pendaftaran Pembekal Dengan e-Perolehan

1. Mengapakah pembekal perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan?
Pembekal perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan untuk menyertai perolehan yang dipelawa secara sebut harga (nilai melebihi RM50,000 hingga RM500,000) dan tender (melebihi RM500,000). Walaupun demikian pembekal digalakkan berdaftar dengan Kementerian Kewangan untuk perolehan di bawah RM50,000.
2. Bagaimanakah saya memohon untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan?
Anda perlu melayari laman web: www.eperolehan.gov.my dengan mengklik rangkaian Pendaftaran Pembekal/Perunding.
3. Apakah kadar bayaran untuk pendaftaran dengan Kementerian Kewangan?
Kadar bayaran untuk pendaftaran dengan Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM450.00 untuk tempoh tiga (3) tahun dengan maksimum sepuluh (10) bidang. Bagi setiap bidang tambahan bayaran tambahan sebanyak RM50.00 dikenakan.
4. Mengapakah kelulusan permohonan pendaftaran mengambil masa?
Jika maklumat/dokumen yang dikehendaki lengkap, permohonan dapat diproses dan diluluskan dengan cepat. Jika permohonan tidak lengkap, maklumat/dokumen tambahan diperlukan dan dari itu proses dan kelulusan akan mengambil sedikit masa.
5. Di manakah borang permohonan pendaftaran boleh diperolehi?
Semua permohonan hendaklah dibuat atas talian dan tiada borang manual dikeluarkan untuk permohonan pendaftaran dengan Kementerian Kewangan.
6. Apakah jenis-jenis pendaftaran/permohonan?
Jenis-jenis pendaftaran adalah seperti berikut:
(i) Permohonan Baru
(ii) Permohonan Pembaharuan
(iii) Permohoan Tambah Bidang
(iv) Permohonan Taraf Bumiputera
(v) Permohonan Kemas Kini Profil
7. Apakah faedah-faedah pendaftaran?
(a) Syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dapat menyertai perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dan tender;
(b) Syarikat yang berdaftar dikecualikan daripada deposit tender;
(c) Syarikat boleh mempamerkan katalog dan harga dalam sistem ePerolehan dan meluaskan peluang pemasaran; dan(d) Memudahkan Agensi Kerajaan untuk mempelawa sebut harga, tender atau membeli terus
8. Jika syarikat saya berdaftar dengan Kementerian Kewangan, adakah syarikat saya terjamin untuk peluang berurusniaga dengan jabatan Kerajaan?
Tidak. Syarikat perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lain bagi urusan sebut harga dan tender. Bagi pembelian terus agensi Kerajaan boleh beli terus daripada syaraikat yang berdaftar jika harga berpatutan.

9. Saya difahamkan kalau kita kenal pegawai Perbendaharaan, mudah permohonan diluluskan?
Tidak benar. Anda tidak perlu mengenali mana-mana pegawai Perbendaharaan untuk permohonan anda diluluskan. Anda cuma perlu memastikan permohonan anda lengkap serta memenuhi syarat-syarat pendaftaran dan permohonan anda akan diluluskan.
10. Saya dengar kos untuk pendaftaran RM500.00 hingga RM5,000.00. Adakah ini benar?
Tidak benar. Kadar bayaran untuk pendaftaran dengan Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM450.00 untuk tiga (3) tahun dengan maksimum sepuluh (10) bidang. Bagi setiap bidang tambahan bayaran tambahan sebanyak RM50.00 dikenakan. Bayaran ini dikenakan setelah permohonan anda diluluskan. Walau bagaimanapun kos ini tidak termasuk kos untuk mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
11. Bilakah sijil akan dikeluarkan selepas permohonan diluluskan?
Sijil akan dikeluarkan setelah permohonan diluluskan dan bayaran pendaftaran dijelaskan. Sijil secara fizikal tidak dikeluarkan lagi dan syarikat boleh mencetak sendiri sijil digital secara online.
12. Apakah tindakan yang perlu diambil jika sijil pendaftaran hilang?
Soal sijil pendaftaran hilang tidak lagi timbul kerana sijil digital boleh dicetak semula.
13. Apakah tempoh untuk mendapat sijil ganti?
Soal sijil ganti tidak timbul kerana sijil digital boleh dicetak sendiri.
14. Saya tidak tahu menggunakan komputer untuk memohon pendaftaran secara atas talian. Apakah nasihat Kementerian Kewangan?
Anda boleh meminta bantuan di kiosk ePerolehan di negeri-negeri yang berkenaan atau meminta mana rakan yang boleh menggunakan komputer untuk membantu anda.
15. Adakah lawatan/audit ke premis akan dibuat untuk semua permohonan pendaftaran atau hanya untuk permohonan tertentu?
Lawatan/audit ke premis akan dibuat untuk syarikat yang memohon bidang pembuat/khas atau taraf Bumiputera.
16. Perlukah saya menyewa ruang pejabat untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan?
Bagi bidang pembuat/khas pihak tuan perlu memiliki atau menyewa premis. Bagi bidang yang dibenarkan beroperasi daripada rumah kediaman, anda tidak perlu menyewa premis dan boleh menggunakan alamat rumah untuk perniagaan.
17. Perlukah saya datang/hadir sendiri di Kementerian Kewangan di Putrajaya jika saya memohon untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan?
Tidak perlu. Anda boleh memohon daripada rumah anda atau pejabat anda secara atas talian.
18. Bolehkah saya memohon menambah bidang pada bila-bila masa atau saya perlu tunggu sehingga pembaharuan sijil?
Anda boleh memohon untuk tambah bidang pada bila-bila masa selepas pendaftaran diluluskan.
19. Apakah kadar bayaran untuk menambah bidang?
RM50.00 bagi setiap bidang jika melebihi sepuluh (10) bidang.
20. Adakah had maksimum bagi bilangan bidang?
Pada masa ini tiada had maksimum bilangan bidang. Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam perancangan menghadkan setiap syarikat hanya boleh berdaftar 30 kod bidang sahaja.
21. Bilakah bayaran perlu dibuat?
Bayaran hanya perlu dibuat setelah permohonan pendaftaran diluluskan secara tunai (pembayaran di kaunter) / cek / bank draf / kad kredit / kad debit.
22. Berapa lamakah sijil pendaftaran berkuat kuasa?
Tempoh kuat kuasa sijil pendaftaran adalah selama tiga (3) tahun.
23. Bilakah saya boleh memohon untuk pembaharuan?
Pembaharuan hendaklah dipohon tiga (3) bulan sebelum sijil pendaftaran tamat. Pembaharuan juga hendaklah dipohon secara atas talian (on-line).
24. Adakah perlu saya telefon pegawai Perbendaharaan untuk mengetahui kedudukan permohonan saya?
Tidak perlu. Status permohonan boleh disemak secara atas talian.
25. Bolehkah saya memohon untuk mendaftar dan memohon untuk taraf Bumiputera sekaligus atau perlu perlu memohon secara berasingan?
Anda perlu memohon untuk berdaftar terlebih dahulu dan kemudian baru memohon status Bumiputera secara berasingan.
26. Bolehkah saya mengambil sendiri sijil pendaftaran di Kementerian Kewangan?
Sijil fizikal tidak lagi dikeluarkan dan sijil digital boleh dicetak sendiri.
27. Bagaimanakah sijil-sijil dihantar?
Sijil-sijil tidak lagi dihantar kerana sijil digital boleh dicetak sendiri.
28. Selepas berdaftar bolehkah saya menjual syarikat kepada orang lain?
Setiap syarikat yang baru berdaftar tidak boleh mengubah ekuiti dan pengurusan selama enam (6) bulan daripada tarikh diluluskan. Ini bagi mengelakkan daripada penjualan syarikat. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk berurusan dengan syarikat yang benar-benar menjalankan aktiviti perniagaan.
29. Selepas mendapat kontrak bolehkah saya subkontrak kepada orang lain?
Anda tidak boleh sub-kontrak keseluruhan kontrak atau mana-mana bahagian kontrak kepada mana-mana pihak tanpa kelulusan Kerajaan terlebih dahulu. Sebagai makluman syarikat dipilih berdasarkan penilaian dan dari itu sub-kontrak lazimnya tidak dibenarkan.
30. Perlukah saya menghadiri kursus-kursus untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan?
Anda tidak perlu menghadiri apa-apa kursus untuk berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Caj yang anda akan bayar jika anda mengunakan pihak ketiga untuk membuatnya adalah seperti ini.

SYARIKAT PERSEORANGAN / PERKONGSIAN (ROB)

Pendaftaran Baru RM 850.00
Pembaharuan RM 850.00
Taraf Bumiputera RM 300.00
Tambah Kod Bidang RM 150.00 + RM 50.00/kod bidang
Kemaskini Profil RM 150.00
Media akses Eperolehan RM 150.00

SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD / BERHAD (ROC)
Pendaftaran Baru RM 1,100.00
Pembaharuan RM 1,100.00 
Taraf Bumiputera RM 350.00
Tambah Kod Bidang RM 250.00 + RM 50.00/kod bidang
Kemaskini Profil RM 250.00
Media akses Eperolehan RM 150.00

PERUNDING / KOPERASI / PERSATUAN / PERTUBUHAN (ROS)
Pendaftaran Baru RM 1,100.00
Pembaharuan RM 1,100.00 
Taraf Bumiputera RM 350.00
Tambah Kod Bidang RM 250.00 + RM 50.00/kod bidang
Kemaskini Profil RM 250.00
Media akses Eperolehan RM 150.00

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

MY News

Cari Blog Ini